SANG KANCIL DENGAN BUAYA
Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang
paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan
datangkepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah.
Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia
tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa
saja.
Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk
mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah
berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya.
Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga
kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan.
Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang
sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan
sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga
Sang Kancil.
Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila
terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di
sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar
jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya
hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun
kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak
lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di
seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini
dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.
Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk
menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil
terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah
menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat
cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang
sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu
pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus
membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik
sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan
kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira
untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi
ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata
"Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".
Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman
supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja
Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja
Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi
kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini.
"Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk
memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil
sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua
buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil
berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman
supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah
yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu
merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing
sebelah sana".
Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi
Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi
"Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil
sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di
tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk,
jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga
kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus
melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata"
Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan
tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan
malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan
melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya
tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus
melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus
menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang
sedang masak ranum itu.
No comments:
Post a Comment